Gemerlapan cahaya dan lampu neon di Riverview 8 Avenue yang merupakan
kawasan rehat yang dibina di atas Gwangjingyo
(jambatan) begitu memukau pandangan Kay. Dia berpeluk tubuh sambil menarik
nafas dalam-dalam. Sungguh indah pemandangan pada malam itu, lampu LED yang dipasang sepanjang jalan kecil
di tebing Sungai Han membuatkan kawasan itu nampak cukup romantik.
Tangga-tangga kecil yang dinyalakan lampu pada
waktu malam dibina untuk mengarah ke tempat ruang membuat persembahan teater
atau konsert. Di ruang inilah video klip “Iris”
iaitu siri drama Tv Korea popular telah dilakonkan. Biasanya, persembahan
teater atau konsert pasti diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu. Jadi, sudah
pastinya tempat ini penuh sesak pada hari berkenaan kerana rata-rata pengunjung
akan menikmati suasana persembahan yang menarik dengan pemandangan yang indah
berlatar-belakangkan Sungai Han.
“Termenung jauh nampak...“ sapa Nafri
lembut. Kay tersentak dari lamunan dan memandang Nafri yang entah sejak bila
berdiri di sisinya.
“Tak adalah...” jawab Kay acuh tak
acuh. Rambutnya yang ditiup angin segera dikuak perlahan. Dia masih berpeluk
tubuh sambil memandang kosong ke arah Sungai Han. Dia tersenyum.
“Tak nak mengakulah tu... Nah, ni kopi
segera yang You minta tadi.” Ujar
Nafri lalu memberikan secawan kopi segera yang dibeli dari mesin elektrik yang
terletak di setiap penjuru jalan kecil sepanjang Riverview 8 Avenue.
Kay menyambutnya perlahan. “Kamsahamnida... (terima kasih)” ujarnya
tersenyum manja.
Nafri membalas senyuman Kay. “Dah pandai cakap
Korea ye...” selorohnya sambil menghirup kopi panas yang masih berkepul-kepul
asapnya. Sememangnya suhu di negara itu sangat sejuk. Menikmati kopi panas pada
waktu begini memang begitu nikmat sekali.
“Mestilah... kita duduk lama-lama kat sini
harus belajar bahasa mereka, belajar budaya mereka. Kalau tak, sia-sia lah kita
duduk sini kan?” Ujar Kay lalu menjeling manja pada sang kekasih hatinya, Nafri.
“Ne, geudeul-i
iss-eossda. Dangsin-ui mallo dong-uihabnida...
(Ya, memang betul. I setuju dengan
kata-kata You)” ucap Nafri penuh
yakin. Dia memerhati setiap inci wajah mulus gadis itu dengan senyuman.
Bulat mata Kay memandang Nafri. “You pun tahu cakap Korea, bila You belajar?” tanyanya dengan riak
terkejut. Setahunya, Nafrilah orang yang paling malas hendak belajar bahasa
Korea. Susah katanya. Tapi, baru sebentar tadi dia mendengar lelaki itu menuturkan
bahasa negara itu dengan begitu lancar.
Nafri mengangkat keningnya. “Well, seperti yang You kata tadilah. Sia-sia je kita duduk di sini kalau tak nak
belajar bahasa mereka, kan?” Jawabnya spontan, berniat hendak menggenakan Kay
semula.
Lantas Kay menumbuk lengan Nafri manja. “You ni kan, memang suka tipu I tau...” katanya geram. Geram kerana
dipermainkan lelaki itu.
“Ala, tipu sunat sayang...takkan tak
boleh kot?”
Kay mencebikkan bibirnya. “I tak kisah! Tipu sunat ke, tipu apa ke...tipu
tetap tipu, kan? Cuba bagitau terus-terang, apalagi yang You tipu dari I?” soal
Kay bernada bergurau.
Nafri mengangkat keningnya. “Hmm,
rasanya tak ada lagi lah. Tak baik tau tuduh-tuduh I macam tu. Kang, tak pasal-pasal I terjun ke dalam Sungai Han tu untuk buktikan yang I memang jujur sayang...” katanya
lembut.
Nafri hanya ketawa melihat Kay yang
marah-marah sayang itu. Kay sudah memuncungkan bibirnya. Melihat Nafri yang
asyik ketawa, Kay menjadi semakin geram. Akibatnya, lengan Nafri menjadi mangsa
cubitannya yang amat berbisa.
“Aduh! Janganlah main cubit-cubitan sayang...
Sakit tau! You dah tak sayang kat I lagi ke?” Nafri mengadu kesakitan, wajahnya
diherotkan sedikit persis orang yang betul-betul dalam kesakitan. Tangannya
mengusap-usap bekas cubitan Kay yang singgah di lengannya tadi.
“Ha, padan muka you. Cubalah main-main
dengan I lagi, huh!” Kay merungut manja. Dia memandang wajah Nafri dengan penuh
kasih.
“Okay,
I’m sorry sayang... Sayang ni garang sangatlah.” Nafri segera mendekati Kay
dan memeluk bahunya sambil menikmati pemandangan di Sungai Han.
“Garang ke? Mana ada garang, itu geram
ajelah.” Ujar Kay lembut sambil melentokkan kepalanya di bahu Nafri. Dia
tersenyum bahagia. Walaupun di dalam hatinya penuh gusar memikirkan sejauh
manakah hubungannya dengan lelaki itu nanti.
Sesungguhnya, hubungan mereka hampir
mencecah setahun lebih. Walaupun Tan Sri Syafique berkali-kali melarang Kay
untuk berkawan dengan Nafri, namun Kay tidak pernah ambil peduli. Sikap
degilnya yang sukar hendak mendengar kata membuatkan dia langsung tidak
mengikut perintah ayahnya. Baginya sekarang, Nafri adalah segala-galanya. Dia
kini sedang tengelam dalam buaian cinta lelaki bernama Nafri, lelaki yang amat
dibenci oleh Tan Sri Syafique.
Klik! Klik! Tanpa disedari, satu per satu
gambar mesra mereka sedang diambil oleh seseorang yang tidak dikenali. Setelah
meneliti kesemua gambar dalam kameranya, lelaki berkumis tebal dan memakai topi
itu tersenyum puas. Tidak sabar dia hendak bertemu dengan bosnya yang telah
menyuruh dia melakukan kerja yang disuruh itu.
BELUM
sempat Asmady hendak melangkah keluar dari bilik hostelnya, telefon bimbitnya
berdering. Dia segera menjawab pangilan itu terlebih dahulu.
“Assalamualaikum Asmady. Ni Pak Su Ejanlah...”
Kedengaran suara Pak Su Ejan dicorong telefon memecah gegendang telinga Asmady.
“Wallaikumsalam. Pak Su apa khabar?”
tanyanya girang. Dia memang merindukan Pak Su nya itu saat ini.
“Pak Su baik-baik je... As pulak macam
mana? Sihat?” soal Pak Su Ejan pula.
Asmady mengangguk. “Alhamdullilah... As sihat
Pak Su. Cuma letih sikit je. Ya lah, banyak tugasan yang As kena siapkan Pak
Su. Oh ya, nenek dan abah kat kampung sihat tak?” soal Asmady lalu teringatkan
orang yang paling dia sayang dan rindu.
Sesungguhnya, rasa rindu terhadap kampung
halaman merentap tangkai hatinya. Hanya Tuhan tahu betapa dia merindui
keluarganya itu. Sudah setahun dia tidak balik. Bukan dia sengaja tidak mahu
balik tetapi dia tidak mahu menyusahkan keluarganya lebih-lebih lagi Pak Su
Ejan untuk membeli tiket Kapal Terbang. Kalau tiba cuti semester, Asmady lebih
senang mencari kerja sambilan di negara itu. Cukuplah untuk kegunaannya sendiri
walaupun semua kos pembelajaran ditaja oleh kerajaan.
Sejak kecil lagi, keluarganya hanyalah
nenek, abah dan Pak Su Ejan sahaja.
Ibunya sudah lama meninggal dunia, sejak dia masih kecil lagi. Hanya mereka
bertigalah tempat dia bermanja dan berkasih-sayang. Namun, Pak Su Ejan telah berpindah
ke Kuala Lumpur kerana telah mendapat kerja di sebuah Syarikat terbesar sebagai
Pengurus Kewangan.
Dengan pertolongan Pak Su Ejanlah mereka
bersandar. Kalau hendak diharapkan ayahnya yang hanya bekerja sebagai penoreh
getah, apalah sangat pendapatannya. Cukup sekadar untuk makan minum mereka
sahaja. Tapi, Pak Su Ejan sentiasa menghulurkan bantuan disaat mereka
memerlukan. Semua wang perbelanjaan sekolah Asmady ditanggung oleh Pak Su Ejan.
Harapannya cuma satu, ingin melihat Asmady
berjaya menjadi orang yang berguna suatu hari nanti. Sebab itulah Pak Su Ejan
merupakan insan yang paling gembira apabila mendapat tahu bahawa Asmady telah
berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Kejuruteraan
Arkitek di University Of Seoul, South
Korea.
“Nenek dan abah sihat... mereka kirim
salam sayang pada As. Tak sabar mereka nak jumpa As. Kalau As perlukan apa-apa,
As beritahu aje Pak Su ya.”
“As tahu Pak Su. Lagipun, dah banyak
yang Pak Su buat untuk As selama ini. As betul-betul rasa terhutang budi pada
Pak Su, entah bagaimana As hendak membalasnya. Hanya dengan mendapatkan
segulung ijazah inilah hadiah yang mampu As bagi Pak Su. As takkan lupakan jasa
Pak Su...” ujar Asmady lembut namun ada sebak berbaur dalam hatinya.
Kedengaran Pak Su Ejan mengeluh.
“Mulalah As ni, dah nak buat Pak Su rasa sebak pulak. Apalah As ni, Pak Su
ikhlas. Pak Su dah anggap yang As ni macam anak Pak Su sendiri tau. Begini,
kalau ada rezeki nanti, Pak Su bercadang nak jenguk As kat Korea tu...tapi
tengoklah dulu. Pak Su cuma cadangkan aje.”
Asmady gembira mendengarnya. “Wah,
betul kah Pak Su? Kalau Pak Su pergi sini nanti, jangan lupa call As ya... Nanti As akan jemput Pak
Su kat airport.” Ujarnya dengan
riang.
“Ala, As ni... Belum confirm lagilah. Tengoklah nanti macam
mana ya. Okeylah As, Pak Su nak letak phone
dulu. Lain kali Pak Su telefon lagi ya.”
“Hrmm...tak puas As nak berborak
dengan Pak Su. Tak apalah, janji ya telefon As lagi.”
“Takkanlah Pak Su tak telefon lagi.
Pak Su pasti call punya. Jangan
risaulah, ya.
“Ya lah Pak Su. Kirimkan salam sayang
saya pada nenek dan abah. Katakan yang As rindu sangat-sangat kat mereka.”
“Insya-allah, Pak Su akan sampaikan.
Assalamualaikum As.”
“Wallaikumsalam Pak Su.”
Klik! Telefon dimatikan. Asmady
tersenyum sendirian. Terubat juga rindunya pada keluarga di Malaysia. Demi masa
depanku, demi keluargaku... aku janji aku akan banggakan mereka suatu hari
nanti. Aku akan bawa ijazah ini sebagai hadiah terbesarku pada mereka. Itu
janji Asmady!
SETELAH
empat jam menghadiri kelas, semua pelajar akhirnya berpusu-pusu keluar dari
dewan kuliah yang mampu menempatkan lebih dari seratus orang pelajar. Asmady
yang siap mengemas bukunya tercari-cari kelibat Hazwin yang tadi ada dilihatnya
bersama dalam bilik itu. Namun, dalam masa beberapa minit sahaja gadis itu
sudah hilang. Memang sah, dia masih marahkan aku lah ni! Gerutunya sendirian.
“Kau cari siapa ni As?” soal Raziq sambil
turut sama melilau-lilau di sekeliling.
“Hazwin. Kau ada nampak dia tak tadi?”
Raziq menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal. “Emm, rasanya ada tadi. Tapi dia dah keluar awal aku tengok tadi.
Hei, korang masih gaduh lagi ke?” soal Raziq. Mereka berjalan beriringan menuju
ke Kafetaria pelajar 3 yang terletak di tingkat lima Bangunan Sains Tulen.
Raziq telah maklum dengan sengketa
yang berlaku diantara dua orang rakannya itu. Ternyata, sudah 3 hari dia
dijadikan sebagai orang tengah semata-mata cuba mendamaikan mereka semula.
Namun, hati Hazwin kali ini begitu keras.
“Nampaknya begitulah Ziq. Dia langsung
tidak mahu memaafkan aku. Dia betul-betul marah dengan aku Ziq. Aku sudah mulai
rindukan persahabatan kami...” Asmady melepaskan keluhan sayu.
“Kau cubalah pujuklah dia lagi As.
Kesalahan kau bukannya besar sangat pun, tapi aku yakin dia cemburu lah As...hati
perempuan, memang kita tak dapat nak jangka. Kau ni rindukan persahabatan dia
ke, rindukan orangnya?” ujar Raziq sambil menyiku Asmady.
“Hisy, kau ni... Ada-ada aje lah. Aku
dah anggap Hazwin tu macam adik aku sendiri.”
“Ha, itulah kau...langsung tak tahu
nak hargai perasaan Hazwin. Ada kau selami perasaan dia? Kau sendiri tahu yang
Hazwin tu dah lama pendam perasaan pada kau, kenapa kau nak menidakkannya?
Berilah peluang pada diri kau As. Cubalah kau buka pintu hati kau tu untuk
Hazwin. Hazwin begitu ikhlas mencintai kau, manalah tahu kalau hidup kau akan
lebih bahagia selepas ini. Cintailah orang yang mencintai kita sepenuh hati,
nescaya kau akan menikmati cinta yang sejati... Kata-kata ni, aku pinjam dari
Pujangga cinta masa aku nak ngorat seorang awek masa kat sekolah menengah
dulu.” Bersungguh-sungguh Raziq menyakinkan rakan baiknya itu. Dia
menepuk-nepuk bahu Asmady.
Asmady terdiam. Memikirkan sejenak
kata-kata Raziq yang seolah-olah menyedarkannya bangun dari mimpi yang panjang.
Ya Allah... sekiranya inilah jalan dan petunjuk yang kau bagi, kau ampunkanlah
aku. Hatinya memanjat doa.
“Tapi, aku nak fokus dengan pelajaran
aku dulu. Aku tak nak tergesa-gesa dalam bab ni. Lagipun, kau sendiri tahukan
yang keluarga aku sangat berharap kat aku. Aku tak nak hampakan harapan mereka
Ziq.”
Raziq mendengus kecil. “Ya, aku tahu
tu As. Tapi, aku yakin kalau kau menerima Hazwin pun semua ni takkan berubah.
Sebab kamu berdua sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kamu berdua cukup
memahami sesama sendiri. Kalau kau bercinta dengan dia sekalipun, aku pasti
pelajaran kau takkan terjejas. Kita sama-sama belajar di sini,kan? Aku lihat,
kamu berdua memang serasi sejak dulu lagi dan aku tak lihat apa masalahnya
kalau kamu berdua bercinta. Sama-sama bijak dan matang dalam pelajaran. Kau
kenal Hazwin tu macam mana,kan?”
Asmady masih berdiam. Kata-kata Raziq
memang ada kebenarannya. Hanya Hazwin yang memahami dirinya. Hanya dia! Selama
ini aku buta tentang apa yang sudah tertulis di hadapanku. Aku mengabaikan hati
seorang gadis yang begitu mencintaiku dengan sabar. Dimana lagi hendak aku
temui insan sepertinya? Aku janji Ya Allah, aku akan menghargai cinta itu dan
menyambutnya dengan ikhlas. Hazwin...maafkan aku!
Asmady sudah tidak mampu membendung
sendunya. “Betul kata kau Ziq. Selama ini akulah lelaki yang paling bodoh
kerana sanggup membiarkan perasaan Hazwin begitu sahaja. Dialah yang sepatutnya
berada dalam hati ini Ziq... Aku tidak akan lepaskan gadis sebaik dia. Aku akan
cari dia Ziq... Aku nak minta maaf kat dia. Aku banyak berdosa padanya. Selama
ni aku banyak pentingkan diri. Terima kasih Ziq kerana kau telah menyedarkan
aku... Terima kasih, aku nak pergi cari dia Ziq!” ujar Asmady menggenggam erat
tangan Raziq.
Raziq hanya mengangguk dan tersenyum. Dia
bersyukur dalam hatinya. Namun, entah mengapa hatinya pula yang diruntun
gelisah. Jiwanya pula tiba-tiba dibuai perasaan sakit. Raziq beristighfar,
sekiranya Hazwin adalah jodoh Asmady. Dia redha kerana dia yakin, semua itu
sudah tertulis sejak di Luh-mahfuz lagi.
0 comments:
Post a Comment