CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, May 17, 2013

Bab 7 (Hello, dia milik akulah!)

“Macam mana? Boleh tak kau terima cadangan aku ni Jan?” Tan Sri Syafique bertanya lembut sambil memandang sekilas ke wajah sahabat baiknya itu. Jikalau bukan kerana ihsan Pak Su Ejan sekeluarga, tidak mungkin dia akan menikmati kejayaan seperti sekarang ini. Tidak mungkin Menara Kayrina akan berdiri megah di bandaraya Kuala Lumpur.       
      Pak Su Ejan masih senyap sejak tadi. Tidak tahu apa Jawapan sesuai yang harus diberikan kepada Tan Sri Syafique. Permintaan Tan Sri Syafique terlalu berat untuk dipenuhi, kerana ianya melibatkan kehidupan orang lain. Kebahagiaan dan kerelaan seseorang.
      “Kenapa Jan? Kau masih memikirkan keputusan kau ke?” Tan Sri Syafique bertanya lagi apabila hanya melihat kebisuan Pak Su Ejan.
      Pak Su Ejan menoleh wajah Tan Sri Syafique. Keihklasan dan kejujuran Tan Sri Syafique dalam menyatakan hasratnya mengundang simpati di hatinya. Dia mengeluh.
      “Kalau ikutkan hati aku ni, memang tak ada masalahnya Fiq. Cuma, aku takut yang anak saudara aku tu nanti tidak setuju dan menolaknya. Apatah lagi dia ada ayah di kampung. Aku takut mereka semua tidak bersetuju Fiq, kerana Asmadylah satu-satunya harapan mereka.” Pak Su Ejan meluahkan apa yang terbuku dihati.
 Tan Sri Syafique hanya mengangguk perlahan. Ada riak kecewa di wajahnya. Dia sudah tidak tahu apa yang harus dibuat. Keputusan yang di rasakan betul disaat ini ialah mengahwinkan anak gadisnya dengan anak saudara kawan baiknya, Pak Su Ejan.
      Tan Sri Syafique telah mendapat tahu dari Feroz bahawa anak saudara Pak Su Ejan juga belajar di Universiti yang sama dengan Kay. Dia bersyukur kerana telah diberikan petunjuk bahawa hanya anak saudara Pak Su Ejanlah yang layak untuk Kay. Dia sendiri tak pasti kenapa gerak hatinya seolah-olah yakin bahawa keputusannya kali ini memang tepat.
Sudah tiga hari dia memikirkan perkara ini masak-masak. Seingatnya, dia pernah bersemuka dengan anak saudara Ejan yang dimaksudkan. Itupun hanya sempat berbual sekejap sahaja semasa dia terserempak dengan mereka di sebuah bank. Memang budaknya nampak baik. Namun setakat luaran kelihatan baik masih tidak mencukupi. Tetapi, Tan Sri Syafique benar-benar yakin dengan gerak hatinya bahawa budak itu sememangnya baik dan boleh dpercayai.
      “Jadi, tak dapatlah ni? Kalau betul-betul tak dapat, tak apalah Jan... Aku faham. Aku pun tak nak memaksa kau. Aku hormat apa saja keputusan Kau Jan.” Ujar Tan Sri Syafique lembut namun sedikit kecewa pada nadanya.
Dia tidak sanggup untuk mendesak Pak Su Ejan lagi. Sudah begitu banyak budi lelaki itu padanya. Baginya, hanya dengan cara mengahwinkan Kay dengan anak Pak Wanlah satu-satunya cara yang terbaik. Pak Su Ejan pula hanya mempunyai seorang anak tunggal perempuan, itupun sudah lama berumah tangga.
      Sekali lagi Pak Su Ejan diundang resah. Kalau boleh, dia tidak mahu mengecewakan rakannya itu. Sejak dari bangku sekolah lagi dia berkawan baik dengan Tan Sri Syafique  .
 Namun, apabila Tan Sri Syafique berpindah ke bandar, persahabatan mereka hanya terputus begitu sahaja. Sehinggalah suatu hari Tan Sri Syafique pulang ke kampung itu semula dengan keadaan yang cukup menyedihkan. Kepada mereka sekeluargalah Tan Sri Syafique telah menumpang kasihnya sehingga berjaya seperti sekarang.
“Siapa kata tak dapat? Kau jangan bimbang Fiq... Aku akan uruskan segalanya. Aku dah tahu apa nak buat untuk mengahwinkan mereka Fiq. Aku dah fikir masak-masak dan buat keputusan, aku setuju Fiq. Mereka mungkin akan kecewa dengan rancangan kita ni, tapi kita buat semua ini untuk kebaikan masing-masing. Walaupun perkahwinan ini dirahsiakan dari Wan dan juga emak kat kampung tu. Aku harap satu hari nanti mereka akan faham.” Ucap Pak Su Ejan setelah agak lama mendiamkan diri.
Berubah wajah Tan Sri Syafique sebaik sahaja mendengar keputusan Pak Su Ejan secara tiba-tiba.
“Kau betul-betul setuju ke ni Jan? Aku rasa macam mimpi je dengan semua ni. Betul ke Jan?” soal Tan Sri Syafique berkali-kali. Wajahnya jelas kelihatan ceria.
Pak Su Ejan tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Tan Sri Syafique.
“Aku betul-betul lah ni Fiq. Takkan aku nak main-main dalam soal ni. Ini soal masa depan anak-anak kita. Aku dah anggap Asmady tu macam anak aku sendiri. Aku terlalu sayangkannya Fiq... aku cuma inginkan dia bahagia. Dan, aku harap bahawa keputusan aku ni tak salah Fiq.”
“Insya-Allah Jan. Aku gembira sangat kau bersetuju. Terima kasih ya Jan, tak tahu macam mana lagi aku nak berterima kasih pada kau. Dah banyak kau bantu aku Jan. Aku terpaksa buat begini, demi menyelamatkan maruah keluarga aku. Dan aku tidak akan sekali-kali membenarkan hubungan anak aku dengan keluarga musuh aku tu berterusan. Aku gembira sangat Jan...” luah Tan Sri Syafique. Tidak henti-henti dia mengucapkan rasa bersyukurnya.
“Aku pun macam tu Fiq. Dahlah, yang penting sekarang ni kita rancang semua ni baik-baik.” Cadang Pak Su Ejan.
Tan Sri Syafique mengangguk. “Ya, aku akan buat persediaan. Aku akan tempah tiket untuk kita pergi ke Korea minggu depan. Kita kahwinkan aje mereka di sana memandangkan mereka masih belajar.” Cadang Tan Sri Syafique tidak sabar.
Pak Su Ejan tersenyum dan mengangguk perlahan. Dia mengikut rasa gerak hatinya. Dia cuba membuat keputusan berdasarkan apa yang dirasakannya tepat pada saat ini. Maafkan Ejan, abang Wan. Maafkan Ejan, Mak. Mungkin keputusan Ejan ni terburu-buru, tapi itulah satu-satunya cara untuk membalas budi baik Tan Sri Syafique selama ini. Bentak jiwa Pak Su Ejan.

JAM di apartment kediaman Kay sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Namun, sejak dari tadi Kay masih berdiri di balkoni apartment tingkat 18 membuang pandang ke seluruh bandar Seoul. Apartment itu telah dihadiahkan ayahnya sejak dia mula menyambung pelajarannya di University Of Seoul dua tahun lalu.
Selepas sahaja mengambil keputusan SPM pada tahun 2005, Kay lalu mendapat tawaran untuk menyambung kembali pelajarannya selama 5 tahun di University Of Seoul, South korea dalam bidang Kejuruteraan Awam. Keputusannya yang sangat cemerlang telah membawa dia ke negara 4 musim ini.
Apartment Samcsheong yang mempunyai 25 tingkat itu terletak tidak jauh dari kawasan Seongbuk-gu, Seoul. Hanya mengambil masa dua puluh minit sahaja untuk sampai ke UOS jika menaiki kenderaan. Apartment tersebut juga terletak di kawasan kejiranan 203 Samseondong, dan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dari pusat bandaraya Seoul.
Keadaannya yang strategik terletak di tengah-tengah kawasan pusat bandaraya menyebabkan ramai penghuni Korea lebih suka tinggal di kawasan itu kerana jarak mereka tidak jauh sekirannya hendak pergi ke tempat kerja yang terletak di pusat bandaraya Seoul.
Kay lebih senang tinggal seorang diri di apartment itu walaupun ayahnya, Tan Sri Syafique berkali-kali telah menyuruh Kay untuk bawa beberapa orang teman perempuannya tinggal bersama. Malah, berkali-kali juga ayahnya menyuruh dia untuk tinggal sahaja di rumah agam milik keluarga arwah ibunya yang terletak tidak jauh dari kawasan bandar itu. Namun langsung Kay tidak setuju. Baginya, dia lebih sukakan keadaan di apatment itu dan lebih selesa tinggal seorang diri.
Bukannya dia tidak suka jikalau Raula dan Zateel tinggal bersamanya, tetapi dia tidak suka kalau ada orang yang cuba menegurnya atau menyibuk tentang dirinya. Lebih-lebih lagi kalau si Raula, sikap Raula yang suka membebel dan menegurnya kadang-kala membuatkannya sedikit rimas dan muak. Sebab itulah dia lebih senang tinggal seorang. Dia boleh bebas melakukan aktiviti yang dia suka.
Fokus pandangan Kay kembali pada pohon-pohon ceri yang ditanam berderetan sepanjang-panjang jalan di bawah apartment Samcsheong itu. Liuk-lentiuknya amat mengasyikkan. Desiran daun-daun yang ditiup angin malam, bergemersik indah ke telinganya. Cabang-cabang kecil bergesel liar ke dinding dan ke bingkai tingkap.
Begitulah iklim anugerah Allah ke daerah yang bermusim. Anginnya sentiasa sejuk dan nyaman, walaupun musim panas sudah bersedia memberi laluan ke musim luruh yang bakal tiba. Seronok dia melihat pemandangan bandar Seoul pada waktu malam di balkoni itu. Cahaya lampu neon dan lampu LED yang bergemerlapan dari seluruh pelusuk bangunan dan jalan-jalan begitu indah sekali.

LAMUNAN Kay terhenti sebaik sahaja terdengar bunyi telefonnya berdering nyaring. Kay merogoh tangannya ke dalam kocek seluar pendeknya untuk mengambil telefon bimbit. Dia tersenyum sebaik sahaja melihat nama “Sayang Nafri” tertera di skrin telefon.
“Helo sayang!” Jawab Kay ceria. Memang itu adalah panggilan yang dia tunggu-tunggu sedari tadi.
“Hello sayang. You buat apa tu?” kedengaran suara Nafri di corong talian bertanya lembut.
“Emm, tak buat apa-apa. Tengah lepak kat balkoni aje. Tunggu You call I lah ni.”
“La, ye ke ni? Kesiannya... sorrylah sayang, I baru aje balik main futsal. Ni pun tengah nak pergi mandi tapi rasa tak bestlah kalau tak dengar suara you dulu. I miss you sayang.” Desah Nafri.
Kay hanya tersenyum manja mendengar pengakuan kekasih hatinya itu.
It’s okay. I faham, and I miss you too. You tak nak jumpa I ke malam ni? Malam ni I free. Semua assignment I dah siap, tunggu nak pergi hantar aje.”ujar Kay ceria.
“Err, sorrylah sayang. Bukan I tak nak jumpa you malam ni tapi I letihlah. Tambahan pula assignment I pulak belum siap. Mana nak siapkan assignment lagi, nak cari maklumat lagi. So, I betul-betul tak bolehlah malam ni. Sorry sayang ya?”
Kay melepaskan keluhan kecewanya. “Ya ke? Hmm, kalau macam tu tak apalah. I faham. Its okay.”
“Betul ni sayang? You tak merajuk?” Soal Nafri berbaur manja. Dia memang sudah cukup masak dengan sifat Kay.
“Nak merajuk apa pulak? I bukan budak keciklah nak merajuk-merajuk ni. Tak kuasa...” Jawab Kay lemah namun hatinya sedikit kecewa kerana hasrat hatinya ingin bertemu terpaksa ditangguh.
“Ha, macam itulah sayang I. Macam ni lah, I janji kita keluar esok ya?”
“Esok?” Soal Kay sedikit teruja. Dia kembali menguntum senyum sambil jari kirinya leka memintal-mintal hujung rambut.
“Ha’ah, esok. Kenapa? You dah ada plan ke?”
“Eh, tak adalah. I free aje.” Jawap Kay laju. Hatinya kini sudah berbunga ria.
Hmm, so? Kita jumpa esok ek? I datang ambil you tepat pukul sebelas pagi, ok tak?” cadang Nafri.
Kay mengangguk setuju. “Okay. I tunggu, but make sure don’t late ya. You tahukan I tak suka tunggu lama-lama.”
“Ya, I know sayang. Don’t worry. So, I’ll see you tomorrow.”
Okay then.”
“Bye sayang. Good night! I love and miss you so much!” Luah Nafri.
Semakin lebar senyuman Kay menguntum. “I love and miss you too! Night.”
Tit! Talian diputuskan. Lama Kay merenung telefon bimbitnya itu. Setelah lebih seminggu tidak bersua dengan sang kekasih hati, akhirnya dapat juga dia bertemu dengan Nafri esok. Hatinya sudah tidak sabar lagi. Terasa dirinya yang separuh adalah milik Nafri.
Sehingga begitu sekali Kay mencintai lelaki itu. Lelaki yang dibenci oleh ayahnya. Kadang-kala, bila dia memikirkannya semula, dia langsung tidak faham mengapa ayahnya sangat benci dengan keluarga Nafri. Dia juga takut untuk memikirkan sejauh manakah hubungan cinta itu nanti? Cinta yang terhalang kerana orang tua.
Kay nekad. Kali ini dia akan berdepan dengan ayahnya dan cuba memujuk ayahnya agar menerima Nafri. Dia sudah tidak sanggup lagi terus-terusan membohongi ayahnya. Walau apapun yang terjadi, Kay sudah bersedia untuk menempuhi segalanya. Dia cuba untuk berfikiran positif tentang kemungkinan yang bakal berlaku.
Walaupun hatinya pada malam itu disulami gundah. Seolah-olah ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Perasaanya resah sejak petang tadi. Kay sendiri tidak tahu mengapa perasaannya terganggu hari itu. Panggilan dari Nafri sebentar tadi sedikit-sebanyak telah menceriakan hatinya.
Setiap kerja yang dibuatnya hari itu serba tidak menjadi. Kay masuk ke ruang tamu setelah angin malam menyerbu dirinya. Memang terasa sangat sejuk. Setelah mengunci pintu dan menarik langsir, dia duduk di sofa dan mencapai remote tv. Satu per satu siaran televisyen di tekannya, namun satu pun tidak menarik minatnya.
Kay mengeluh berat. Tv dipadamkan dan remote dilemparkan kembali ke atas meja kecil. Dia bingkas bangun dan berjalan masuk ke bilik tidur. Punggungnya lantas dilabuhkan di atas kerusi meja belajarnya. Laptopnya yang masih terpasang ditatap. Malas untuk terus melayan perasan, Kay cuba membuang rasa gundahnya dengan bermain game yang ada dalam laptopnya itu. Mungkin dengan cara itu perasaannya yang terganggu sedikit-sebanyak dapat dilupakan. Otaknya cuba memikirkan hari esok. Hari yang memang dinanti-nantikan sepanjang minggu ini. Ahh, tidak sabarnya! Jerit hati kecilnya.

Wednesday, April 3, 2013

Nilai sebuah Persahabatan



'Erti persahabatan’- Itu yang sedang bermain dalam kantung pemikiranku sejak dari tadi, dalam mencari idea untuk entriku kali ini. Orang kata “Kita adalah dengan siapa kita bersahabat”. Satu ungkapan yang jika diberi tafsiran kasar tidak memberi impak yang besar tetapi jika ditafsir dengan kias dan secara mendalam mampu memberi satu terjemahan yang menyeluruh tentang perjalanan kehidupan kita yang bergelar insan dan saling memerlukan.

Sahabat adalah antara pengaruh terbesar dalam mencorakkan diri kita. Kitar hidup kita berputar di sekeliling mereka. Kesalahan dalam memilih sahabat mampu merosakkan dan memporak-perandakan hidup. Ini jelas terbukti dengan kebejatan moral muda-mudi masa kini yang bergaul bebas dengan sahabat-sahabat yang ‘tidak sihat’. Ini semua bertitik tolak dari salahnya memilih sahabat.

Bagiku, asas utama persahabatan harus bersendikan keikhlasan dan kejujuran, bukannya berpaksikan duit,harta,pangkat dan nama semata-mata. Namun, itulah hakikatnya kita pada zaman ini, zaman yang sukar untuk mencari yang benar-benar 'benar', kerana kita sering dikelirukan dengan kepalsuan pada topeng kepura-puraan.

Antara pepatah kegemaran yang sering aku gunakan sejak dari dulu untuk menasihati diriku sendiri dalam memilih sahabat ialah: “Kalau bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan dapat percikan wangiannya, tetapi kalau bersahabat dengan tukang besi, kita akan terkena percikan apinya dan mencarikkan baju kita". Pepatah ini aku ambil dari sebuah artikel majalah yang pernah kubaca dizaman remaja persekolahanku dulu. Pada masa itu,’masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’ tetapi bila sudah dewasa sebegini ‘masuk telinga kiri,terus menusuk ke hati’.Terima kasih 'Hati' kerana terus mengingatkan!

Ramai yang bertanya mengapa aku nampaknya seperti kurang sahabat dan jika ada sekalipun tiada yang benar-benar rapat, lazimnya hanya berbasa basi bertanya khabar berita dan perkembangan semasa. Jawapanku: Aku berkawan dengan semua. Aku dididik untuk menghormati semua dan tidak mengecilkan sesiapa. Kualiti sentiasa mengatasi kuantiti. Jika ditanya berapa ramai sahabat kita, hampir pasti jawapan spontan “Ramai” akan terpacul pada bibir, namun jika ditanya soalan yang sama sekali lagi dalam intonasi berbeda yang lebih serius, waktu itu kita akan mula berfikir, mengira dan percayalah, yang “Ramai” itu akan jadi “Tidak Ramai” sebenarnya.

Nasihatku pada semua, carilah sahabat yang mampu berkongsi tawa senda dan air mata,walaupun aku akui amat sukar untuk mendapatkannya pada zaman sebegini. Ketika sihat, senang dan berharta, ramai yang menyapa dan mengaku sahabat. Bila sakit, susah dan jatuh miskin, tidak ramai yang ambil endah dan mula menjauhkan diri dengan memberi alasan-alasan yang tidak masuk dek akal dan jujurnya bisa buat hati ketawa dalam tangis memikirkan sifat manusia yang mampu berubah dalam sekelip mata. :'(

Buat sahabat-sahabatku, aku pinta agar kita sama-sama kurangkan kontroversi dan tingkatkan kualiti kerja kita. Kita adalah apa yang kita ‘buktikan’ dan bukan apa yang kita ‘war-warkan’. Kita teruskan semangat kesetia-kawanan sesama kita dan jika timbul sebarang permasalahan peribadi, tidak perlu kita gembar-gemburkan di sana sini, dijadikan bahan media/sosial/humor dan sebagainya. Bersemuka dengan cara yang betul, professional seperti yang diajar oleh AGAMA masing-masing.

Begitu pantas masa berlalu rupanya. Sudah hampir setengah jam aku leka dibuai tarian pena pada topik ‘persahabatan’ ini. Aku terasa dipanggil untuk merebahkan tubuh ke tilam empukku kerana badan sudah dalam fasa keletihan.

Akhir kata, selesai saja membaca artikelku ini, tanya pada diri “Adakah aku punyai sahabat sejati dan adakah aku memiliki ciri-ciri seorang sahabat yang sejati?” Tepuk dada,tanya hati. xoxo :D



Tuesday, April 2, 2013

Budaya Memfitnah Dunia Maya




Dalam kepesatan dunia internet tanpa sempadan kini, aku sedari  manusia turut serta secara pro-aktif dalam proses evolusi ini.Yang menyedihkanku ialah apabila evolusi yang seharusnya memberi anjakan ke hadapan ini hakikatnya tanpa disedari membawa satu aspek ke belakang.Apa yang cubaku gambarkan di sini ialah kebejatan moral dan sahsiah generasi millenia.

Seperti yang kita ketahui,dunia internet adalah dunia bebas,di mana semua orang boleh memberi informasi,tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun.Walaupun kebenarannya masih belum pasti tanpa bukti-bukti mengiringi,kita pantas dan mudah  rasa teruja bila metod presentasi,cara penyampaian informasi nya menarik.

Fakta atau palsu sudah jadi perkara kedua.Yang pertama perlu isu sensasi,bertambah galak jika dikepilkan bersama gambar-gambar yang hanya Tuhan sahaja yang tahu kesahihannya.Dalam dunia kecanggihan IT,gambar bisa saja jadi ‘mainan’segelintir yang arif. Gambar di’edit’,di’super-imposed’. Hasilnya disebarkan di dunia maya buat tatapan semua.Pastinya,ramai yang percaya tanpa usul periksa dan meneruskan ‘usaha berantai’ dengan menyebarkan kepada komuniti mayanya pula.Begitulah kitarannya.

Bahasa tidak ketinggalan menjadi taruhan.Bahasa sudah jadi bahan mainan dan tidak dihargai bila kata-kata kesat digunakan secara berleluasa.Berhati-hatilah dalam pemilihan kata.Jika ada perselisihan faham ,bersemukalah dan jika mahu digunakan medium internet sebagai perantara,hantarlah e-mail secara peribadi tanpa perlu dicanang seantero dunia maya.Mengaibkan orang,dalam masa yang sama tanpa disedari mengaibkan diri sendiri.”Berkata-katalah dengan perkara yang baik atau diam.”- Saya percaya itulah yang diajar oleh Agama kita. Malah, mungkin semua agama.

Aku sedih melihat kita berbalah,memfitnah dalam dunia maya.Kita hidup tidak lama, kawan-kawanku.Mengapa perlu ditambah ‘bekalan yang tidak sepatutnya’ untuk dibawa ke ‘sana’.Setiap tutur kata dan perbuatan kita akan dinilai dan dikira.Aku yakin,100% yakin tiada seorang pun antara kita mahu neraca itu nanti memberatkan dosa lebih daripada pahala dan buku prestasi dunia kita diberikan pada tangan kiri kita kerana itu tandanya destinasi kita sudah pasti bukan syurga.


Akhir kata,aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini.Apa yang kutulis di sini adalah nasihat peribadi untuk diriku sendiri juga.Aku hanya ingin berkongsi rasa dan pendapatku dengan semua.Dunia ini akan lebih indah jika kita sama-sama memberi yang terbaik kerana kita adalah ciptaanNya yang terbaik.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca artikelku kali ini. Maafkan aku jika ada kepincangannya di ‘sini-sana’.Yang baik semuanya dari DIA dan segala kekurangan itu datangnya daripadaku yang serba tidak sempurna.


Insan biasa yang bisa melakukan kesilapan,
Krisabelle Nelly :D



Tuesday, March 26, 2013

Pendidikan VS Pengalaman


Deru angin malam jadi teman.Sejuk.Tempias rintik-rintik hujan mengena diri bila tingkap bilik kurenggangkan sedikit tadi.Sudah lebih sebulan cuaca di Malaysia tak menentu.Hujan turun tak mengira waktu.Bila dibaca isu pemanasan global dan peningkatan bencana alam di serata dunia membuat jantung berdegup lebih laju  kerana setiap kali dibaca,setiap kali itu juga di layar fikiran terpapar suasana huru hara jika Malaysia jadi sasaran bencana alam yang ‘menyerbu’.

Kali ini aku ingin bicara soal pengalaman dan pendidikan,yang mana lebih utama dan harus diraih untuk mengecap kejayaan.Ada yang berpegang teguh menyatakan status pendidikan adalah yang lebih utama dan superior dari pengalaman.Ada  pula yang menyatakan sebaliknya,pengalaman mampu mengatasi status pendidikan kerana pengalaman itu sifatnya lebih mengajar dan lebih ‘melekat’ di lubuk hati dan fikiran.Terpulang.Setiap individu punyai persepsi berbeza yang harus dihormati.


Aku sempitkan ruang fokus penulisanku kali ini dalam bidang perfileman dan sinematografi sahaja kerana ada beribu cerita inspirasi daripada orang-orang yang telah berjaya di seluruh dunia dalam bidang yang berbeza. Buat pengetahuan semua,aku gemar membaca bibliografi orang-orang yang telah menempa nama dan melakar sejarah dalam bidang yang mereka ceburi kerana dari cerita mereka aku mampu menaikkan semangatku yang kadang kala luntur dek ujian demi ujian yang bertindak seperti asid yang menghakis warna semangat juangku.

Jujur,dalam hidup ini,semangat kita tak selalunya memuncak,ada masa-masanya kita mahu lakukan semua dan ada masa-masanya pula kita ingin biarkan dan tidak mengambil peduli,menunggu masa mencambahkan hasil yang mana hampir mustahil.Itu kita.Sama juga dengan iman kita.Ada pasang surutnya,bukan?



Saturday, March 23, 2013

Bab 6 (Hello, dia milik akulah!)



Tan Sri Syafique yang sedang berbincang sesuatu dengan pekerja-pekerjanya segera mengarahkan mereka semua meninggalkan bilik itu apabila menyedari kehadiran Feroz ke dalam bilik itu. Setelah ditinggalkan berdua bersama pembantunya itu, dia segera memandang wajah Feroz.
So? Macam mana? Dah dapat berita yang aku nak?” soal Tan Sri Syafique, tak sabar ingin tahu.
Feroz tersenyum. Dia segera mendekati Tan Sri Syafique. Satu sampul surat diserahkan kepadanya. Tan Sri Syafique mengerut dahi, tangannya segera menyambut sampul itu.
“Apa ni?” soalnya sedikit cemas sambil memandang wajah Feroz. Entah mengapa dia terasa tiba-tiba berdebar. Barangkali tidak sanggup hendak mengetahui kebenaran mengenai anak gadis tunggalnya itu.
“Tuan bukaklah dulu, tengok. Lepas tu baru saya cerita nanti.” Ujar Feroz bersahaja cuba meyakinkan Tan Sri Syafique.
Pantas jari Tan Sri Syafique membuka sampul itu. Beberapa keping gambar yang berada dalam sampul itu diteliti satu per satu. Tatkala itu, tersirap darah merah seakan meyerbu ke wajah tuanya. Hatinya mula panas menatap setiap keping gambar itu. Gambar anaknya Kay yang sedang makan bersama Nafri, berjalan berpegangan tangan, dan berpeluk mesra.
Darah tuanya semakin mendongkol setelah melihat kemesraan gambar anak gadisnya bersama lelaki yang dia benci. Tanpa membuang masa lagi, terus sahaja kesemua gambar itu dicampak kasar ke ambal. Tak sanggup dia hendak terus-terusan melihat gambar-gambar itu.
Feroz turut terkejut dengan aksi Tuannya itu. Dia tahu, Tan Sri Syafique memang akan meradang sekiranya melihat gambar anak gadisnya sedang bermesra dengan lelaki yang dia paling benci, Nafri. Tan Sri Syafique menggeleng-geleng kepalanya berkali-kali. Nafasnya seakan tersekat. Betapa sakitnya hati pada satu-satunya anak gadis kesayangannya yang langsung tidak mahu mendengar kata walau sudah berkali-kali dilarang dan diberi amaran.
Tan Sri Syafique mengepal-gepal penumbuknya. Hatinya betul-betul marah saat ini.
“Err...tuan, bersabarlah. Saya tahu Tuan sedang marah tapi tak ada gunanya sekiranya kita terus nak marah-marah Tuan. Nanti, kesihatan Tuan akan terjejas...” Feroz cuba memujuk Tan Sri Syafique. Dia juga sedikit gugup melihat amukan Tan Sri Syafique itu.
“Habis, kau nak aku bergembira melihat anak aku macam tu? Kau nak aku meraikannya ke?! Aku betul-betul tak sangka Kay sanggup buat begini pada aku. Aku tak akan biarkan perkara ini! Kau cakap Feroz, apa yang patut aku buat?!” tanya Tan Sri Syafique. Matanya sudah kemerah-merahan menahan amarah yang teramat sangat.
Feroz bungkam. Tak tahu apa yang hendak dibuat. Simpati dia melihat Tan Sri Syafique dalam keadaan begitu.
“Err... saya rasa, kalau tuan nak pisahkan hubungan mereka memang mustahil sebab anak tuan tu hanya cintakan si Nafri. Lebih-lebih lagi sekarang ni dia tengah angau bersama lelaki itu tuan. Tapi, ianya tak mustahil melainkan Kay, err...”
“Melainkan Kay apa?!” herdik Tan Sri Syafique tidak sabar.
Feroz tersentak. “Err... melainkan Kay berkahwin dengan orang lain Tuan.” Gulp! Feroz menelan air liur selepas menghabiskan ayat itu. Namun baginya, hanya itu sahaja caranya yang dapat dia fikirkan saat ini. Ah, lantaklah! Aku pun sebenarnya masih blur lagi ni. Terpulanglah pada Tan Sri Syafique nak terima ke tak cadangan aku ni. Bisik hati Feroz.
Tan Sri Syafique terdiam mendengar cadangan Feroz. Kahwinkan Kay? Patutkah aku kahwinkan Kay dengan orang lain? Tapi, kalau hanya itu sahaja cara yang dapat memisahkan dia dan Nafri, aku sanggup kahwinkan dia... walaupun usia dia sekarang ni masih muda, baru 21 tahun. Terlukakah Kay nanti dengan keputusan aku ni? Ahh... biarkan saja dia terluka, kerana aku percaya dia akan dapat melupakan Nafri sebaik sahaja sudah berkahwin.
Aku lagi terluka dengan sikapnya kepadaku. Langsung tak mahu mendengar kata! Aku benci Nafri...aku benci seluruh keturunannya! Pandai kau Fauzi, apa agenda kau sebenarnya menghasut anak kau Nafri untuk mengorat Kay. Kasihan Kay... dia langsung tak tahu apa-apa.
Maafkan daddy sayang...maafkan daddy. Daddy terpaksa buat semua ni demi masa depan Kay, masa depan Syarikat kita, MENARA KAYRINA yang telah daddy usahakan bertungkus-lumus selama ini. Daddy akan carikan lelaki yang baik untuk Kay, daddy janji sayang... Tan Sri Syafique bermonolog sendirian. Wajahnya tampak sayu.
“Feroz, aku bersetuju dengan cadangan kau. Sekarang, kau tempah tiket untuk aku ke Seoul, Korea dalam seminggu lagi. Sebelum itu, aku nak mencari calon yang sesuai untuk jadi suami Kay nanti.” Kata Tan Sri Syafique tegas.
Feroz mengangguk. “Baik tuan...akan saya laksanakan.”
Tan Sri Syafique bingkas bangun dari kerusinya. Setelah mencapai Kot, dia menyarungkan ke tubuh. Dia melibas-libas Kotnya lalu melangkah dari bilik pejabat itu. Agendanya sekarang ialah mencari bakal suami Kayzia Adrina, anak gadis kesayangannya. Dia tidak akan sekali-kali menyerahkan Menara Kayrina kepada sembarangan orang, terutama sekali dari keturunan Fauzi. Rakan yang pernah membelotnya suatu ketika dahulu! Tak mungkin!

HARI sudah hampir petang. Kelihatan awan mendung berkumpul untuk bergerak apabila dipuput dek angin yang semakin bergerak laju. Hujan mungkin akan turun tidak lama lagi untuk membasahi bumi Korea itu. Semua penghuni Korea telah bersiap-sedia untuk menghadapi hujan yang bakal tiba. Awan hitam berarak tiba menutupi langit yang kian kelam. Nampaknya, musim luruh bakal tiba. Musim luruh berlangsung dari bulan September hingga November, dan menghasilkan cuaca yang sederhana. Ia adalah musim terbaik bagi penduduk Korea.
 Namun Asmady tidak peduli, dia masih berdiri tercegat di bawah sebatang pohon cherry sambil matanya mencari-cari kelibat Hazwin. Hazwin yang masih berada di bilik mesyuarat kerana menghadiri perjumpaan untuk Persatuan Wanita UOS dinantinya dengan penuh sabar.
 Dia mengerling jam tangannya, sudah menunjukkan pukul 5.51 petang. Dia berpeluk tubuh. Angin yang kuat pada petang itu membuatkan tubuhnya dilanda kesejukan. Namun, dia tetap menanti dengan sabar.
Hari ini, dia mahu menyelesaikan segalanya bersama Hazwin. Dia sudah nekad tidak akan mengecewakan perasaan gadis itu lagi. Sudah hampir dua minggu Hazwin tidak bercakap dengannya. Dia tidak mahu terus-terusan begini. Sesungguhnya, dia amat merindui gadis itu.
Tidak lama selepas itu, kelihatan berpusu-pusu pelajar perempuan keluar dari bilik mesyuarat itu. Asmady sudah bersedia sepenuhnya. Dia melihat setiap perempuan yang keluar dari pintu itu dan mencari-cari kelibat Hazwin.
Hatinya sedari tadi gelisah. Dia menguntum senyum sebaik sahaja melihat kelibat Hazwin yang baru melangkah keluar dari bilik itu. Pantas dia menerpa ke arah Hazwin. Hazwin terkejut dengan kehadiran Asmady yang datang secara tiba-tiba. Tidak sedar bila lelaki itu berada di situ.
 Dia langsung tidak memperdulikannya dan terus melangkah hendak meninggalkan Asmady. Cepat-cepat Asmady menyorotinya. Pantas lengan Hazwin direntap tetapi tidak kasar.
“Win...dengarlah dulu apa yang saya nak cakap.” Kata Asmady sayu. Hazwin berpaling, cuba memandang mata redup Asmady. Hatinya terus dilanda gelisah sebaik terpandang wajah itu. Wajah yang sentiasa dirinduinya, lebih-lebih lagi dalam masa dua minggu ini. Rindunya pada lelaki itu hanya Tuhan saja tahu.
Hazwin sebenarnya sudah lama memaafkan Asmady, namun entah mengapa kali ini gerak hatinya seolah-olah tidak menentu. Entah mengapa dia dapat merasakan bahawa Asmady semakin jauh dengan dirinya.
Adakah kerana sikapnya kini yang terlalu degil untuk memaafkan Asmady, ataupun dia berasa kecewa kerana Asmady sering tidak mengendahkan perasaannya. Dia sendiri tidak pasti dengan gelodak yang melanda perasaannya kini.
“Hmm, cakaplah apa yang awak nak cakap. Saya tak ada masa ni, nak balik.” Katanya mendatar. Asmady menunduk, dia menarik nafas panjang.
“Win, saya tahu awak masih marahkan saya... Saya nak minta maaf banyak-banyak sebab buat awak terluka dan sedih. Saya ni memang jahat Win...kerana sanggup buat macam tu kat kawan baik sendiri. Saya janji, saya takkan buat awak terluka lagi... Awak maafkan saya, ya?” pujuk Asmady lembut. Suaranya begitu mendamaikan lubuk hati Hazwin.
“As, lebih baik jangan berjanji sekiranya kita sendiri belum pasti dengan apa yang kita rasa...” jawab Hazwin sayu. Hatinya kala ini benar-benar dalam dilemma.
“Win, saya betul-betul dah buat keputusan... Ya, selama ini memang saya bodoh. Saya tak menghargai cinta awak, saya tak mengendahkan perasaan awak. Tetapi, selama dua minggu hidup saya tanpa awak disisi sungguh tidak bermakna Win. Saya rasa sunyi sangat... Saya amat merindui awak. Awaklah tempat saya meluahkan segala yang terpendam dalam hati saya, dan saya takkan tahu bagaimana hari-hari saya esok lusa sekiranya tanpa awak Win... Saya harap awak boleh maafkan saya. Dan saya, bersyukur kerana dalam jangka masa dua minggu ni...barulah saya sedar betapa pentingnya awak Win...” jelas Asmady yakin. Matanya memandang tepat ke tunak mata Hazwin.
Hazwin terkesima, tersentuh dengan pengakuan yang baru dikeluarkan lelaki itu. Matanya mula berkaca dan dia menunduk, cuba untuk menutup rasa terharunya.
“Kenapa awak cakap macam ni As? Apa maksud awak? Awak dah buat saya terharu tau tak...” seloroh Hazwin sambil menyeka sisa air matanya.
Asmady mengenggam erat jari Hazwin. “Win, sudi tak kalau awak jadi teman saya yang paling istimewa? Teman yang sedia berkongsi segala suka-duka saya bersama awak?” ujar Asmady lembut. Kini, hatinya begitu pasti dengan perasaannya sendiri.
Hazwin mencari keikhlasan di wajah lelaki itu. Dia dapat melihat betapa tulusnya pengakuan dan lamaran Asmady sebentar tadi. Namun, dia masih berdiam seketika. Tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi.
“Kita tanya serius dia sempat berangan pulak... Mesti tu berkhayal tentang saya, kan.” ujar Asmady apabila melihat kebisuan gadis itu. Bibirnya menguntum senyum.
Hazwin tersentak, lantas dia membalas senyuman Asmady. “Saya tak beranganlah... Jangan nak perasaan pulak kat sini...” ujar Hazwin dengan nada sedikit merajuk.
“Boleh percaya ke ni? Tapi, kalau Win belum bersedia... tak apalah, saya tak akan memaksa. Tetapi, saya akan tunggu sehingga Win benar-benar bersedia, k?” ujar Asmady penuh ikhlas.
Hazwin menghela nafas. “Awak sedar tak apa awak cakap ni? Sanggup ke awak tunggu saya nanti? Kalau awak terjumpa dengan perempuan yang jauh lebih cantik daripada saya nanti, bagaimana? Sanggup ke awak tunggu saya hingga akhir hayat awak Asmady?” soal Hazwin serius. Dia sengaja ingin menduga sejauh manakah keihlasan lelaki itu.
Asmady terdiam. Soalan yang ditujukan Hazwin padanya tadi benar-benar membuatkan hatinya gelisah. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dijawab.
Hazwin menggeleng. Kau masih belum pasti tentang isi hati kau sendiri As... bisiknya sendirian.
“Tak apalah As... Saya gurau je tadi. Anggap je soalan saya tadi tu tak valid okey.” Seloroh Hazwin cuba menukar topik. Dia tidak mahu hubungan yang baru hendak bermula itu berakhir begitu sahaja. Sememangnya, perasaan sayangnya pada Asmady tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.
“Tapi saya serius Win... Saya hanya akan sayang awak seorang je...”ucap Asmady perlahan.
“Kalau macam tu... kita kahwin!” seloroh Hazwin lagi. Niatnya cuma hendak melihat reaksi Asmady.
Bulat mata Asmady memandang Hazwin. Namun, setelah melihat Hazwin ketawa dia juga turut sama ketawa. Baru dia tahu bahawa Hazwin hanya bergurau. Gerun jugak dia memikirkannya tadi jikalau Hazwin benar-benar mengajaknya berkahwin.
“Oh, awak dah pandai mengusik saya ya? Tak apa, saya tetap akan sayang awak.”
“Kalau betul awak sayang saya, jomlah belanja saya pergi dinner. Saya tak makan sejak dua minggu ni tau! Itupun gara-gara awak...jadi, awak jangan ingat yang saya dah maafkan awak begitu je. Awak kena belanja saya juga... “ usik Hazwin manja.
Asmady hanya ketawa melihat keletah Hazwin. “Kalau macam tu, jomlah kita pergi restoren Alibaba. Saya pasti awak belum pernah pergi sana, kan?”
“Restoren Alibaba? Oh, restoren yang mempunyai ciri-ciri timur tengah tu ke? Hmm, sounds good. Jomlah, kita naik monorel ya? Saya tak naklah membonceng motorbike frust menonggeng awak tu, nanti tak pasal-pasal saya yang turut frust menonggeng duduk atas tu.” Katanya sambil menarik tangan Asmady melangkah meninggalkan perkarangan kawasan Universiti itu.
Asmady mengganguk. “Baiklah Tuan Puteri. Saya akan ikut kata-kata Tuan Puteri tu ya...” seloroh Asmady. Akhirnya, mereka sama-sama ketawa.
Mereka terus berjalan menuju ke pusat bandar untuk menaiki monorel. Hazwin begitu ceria. Inilah pertama kali dalam seumur hidupnya merasa amat bahagia. Asmady pula memanjatkan doa dalam hatinya agar hubungan yang baru hendak bersinar itu direstui dan dipanjangkan selamanya, Insya-Allah.

Thursday, January 17, 2013

Bab 5 (Hello, dia milik akulah!)




K
ay keluar dari perpustakaan UOS dengan hati yang senang dan senyuman yang melebar. Terserlah kedua-dua lesung pipitnya. Senang hati kerana berjaya mencari buku-buku yang amat dia perlukan untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh Profesor Harman.
 Seawal pagi lagi dia sudah melepak di perpustakaan UOS itu semata-mata untuk berebut dengan pelajar yang sama jurusan dalam Kejuruteraan Awam mencari bahan rujukan. Kalau tidak berebut, sekelumitpun dia tidak akan dapat buku yang diperlukan. Hanya tinggal berputih mata sahaja. Bukannya dia tidak pernah berebut, tapi setiap kali berebut pasti dia akan dikalahkan kerana ada beberapa pelajar yang terlebih dahulu mendapatkannya.
Huh, kali ini jangan haraplah korang dapat buku ni. Buku ni dah ada dalam gengaman aku! Biar padan muka korang, aku dah angkut semua dah buku-buku yang Profesor Harman suruh cari. Siapa suruh korang kedekut sangat dengan aku selama ni. Sekarang, korang rasakanlah apa aku pernah rasa. Gigit jari jer lah yer wahai teman-teman seperjuanganku! Bisik Kay gembira.
Dia berjalan penuh berhati-hati hendak menuju ke bilik belajar yang disediakan khas untuk penuntut UOS. Beg sandangnya tersangkut di bahu manakala sebelah tangannya pula mengangkat buku-buku tebal yang telah dipinjamnya sebentar tadi. Tapi entah dimana silapnya, langkahnya tiba-tiba tersadung. Dia sudah tidak dapat mengawal diri, terasa seperti dirinya terlangar sesuatu dan... Gedebuk! Bunyi seperti buah nangka jatuh.
Setiap pasang mata yang berada di situ mula menular ke arahnya. Kay terkedu seketika. Matanya masih terpejam rapat. Dahinya pula terasa pedih seolah-olah telah terhantuk sesuatu yang begitu keras seperti batu konkrit. Namun, tubuhnya pula tidak pula terasa sakit. Kat mana pulak aku landing ni? Lembut aje, takkan tilam kot. Gumamnya sendirian lalu cuba membuka matanya perlahan-lahan.
Saat itu juga, mencerlung biji mata Kay apabila dia melihat dirinya yang sedang menghempap lelaki yang amat dibenci selama ini. Ya Tuhan! Bagaimana pulak aku boleh jatuh kat atas mamat kampung ni? Seronok lah dia tu dapat ambil kesempatan! Marahnya dalam hati.
“Hei, awak?? Awak ni buta ke?!” marah Kay yang masih belum bangun dari menghempap tubuh Asmady. Asmady yang meraba-raba bibirnya dek terpantup dengan dahi Kay hanya menyeringai kesakitan. Terdapat sedikit darah yang mengalir di tepi bibirnya.
“Kalau ya pun awak nak marah saya Cik Kayzia Adrina, bangunlah dulu. Susah saya nak bergerak kalau awak masih baring kat atas saya.” Ujar Asmady sambil mengesat kesan darah yang mengalir di tepi bibirnya.
Kay tersedar. Lantas dia cepat-cepat bangun dan membetulkan blousenya yang sedikit tersiat. Kedengaran pelajar-pelajar lain yang berada di situ hanya berbisik sesama mereka. Raziq yang menyaksikan kejadian itu terus menepuk dahinya. Dia mengeleng dan menggaru-garu kepalanya. Tak tahu apa yang harus dibuat. Dia pula yang terasa malunya.
Aduh, malunya! Kay menggigit hujung bibirnya. Dia menjeling tajam ke arah Asmady yang sudah bangun dan menepuk-nepuk seluarnya. Buku-buku yang dibawanya sebentar tadi habis terhumban ke lantai. Matanya sudah merah seperti singa lapar memandang lelaki itu.
“Awak ni kan, memang tak tahu malu! Berjalan tak pandang kiri-kanan. Atau awak memang sengaja nak malukan saya?!” herdik Kay yang sudah amat marah. Jari runcingnya pantas menuding tepat wajah Asmady.
Asmady hanya memandang redup gadis dihadapannya yang bagaikan seperti gunung berapi yang sedang meletus.
“Saya minta maaf Cik Kayzia. Saya tak sengaja.” Ulasnya ringkas.
Malas hendak bertekak dengan gadis baran itu, dia tahu tak ada gunanya sekiranya terus membidas kata-kata gadis itu. Apatah lagi apabila gadis itu di dalam keadaan dirinya yang sedang dilanda taufan Katrina atau taufan Sandy. Ah, apa-apa ajelah...janji taufan. Ini bukan tahap taufan Katrina lagi ni, dah tahap puting beliung El-Nino dah ni! Gulp!
Namun, makin lama makin banyak pulak darah yang mengalir di tepi bibir Asmady. Kay yang sudah mengatur ayat untuk memaki hamun lelaki itu lagi tiba-tiba terdiam. Dia melihat darah yang mengalir di tepi bibir Asmady. Matanya yang tadi bulat kini dikecilkan. Kay menelan air liurnya, tangannya tergetar-getar. Wajahnya pucat serta-merta!
Pelik dengan tingkah laku gadis itu yang tiba-tiba pucat lesi, Asmady mengangkat keningnya. “Kenapa Cik Kayzia?” soal Asmady sedikit hairan.
Kay menuding jari pada bibir Asmady. Tangannya semakin mengeletar melihat darah itu yang tidak berhenti mengalir. “Da...da.....da...darah......” katanya tergetar-getar, lututnya terasa lemah sekali dan...pap! Kay terus tumbang namun Asmady cepat-cepat menangkap tubuh kecil Kay.
“Kayzia! Kayzia! Kenapa dengan awak ni? Bangunlah...” Asmady mengoyang tubuh Kay. Wajahnya semakin cemas melihat reaksi Kay yang sudah pengsan di peganggannya.
“As, kita bawak dia pergi bilik Kecemasan kat Lobi! Dia fobia darah tu... kau angkat dia pergi sana. Biar aku kemaskan buku-buku dia ni.” Panik suara Raziq memberi arahan. Pelajar yang berada disitu cuba membantu Raziq menyusun kesemua buku-buku yang bertaburan. Ada yang berbisik-bisik dan cemas melihat keadaan itu.
Asmady hanya mengangguk turut sama panik. Dia lalu mencempung tubuh kecil Kay dan dibawa pergi ke bilik kecemasan yang berada di Lobi tingkat bawah sekali. Sedangkan mereka sekarang ni berada di tingkat 5 bangunan Sains Tulen. Terpaksalah dia menggunakan seluruh kudrat yang ada untuk mencempung gadis. Kalau ada lif, tak apa juga.
Nampak je dia ni kecil tapi berat! Entah apa yang dia makan agaknya sampai jadi berat begini. Tidak jugak gemuk-gemuk. Aduhai...keluh hati Asmady. Langkahnya semakin dipercepatkan namun tetap berhati-hati apabila menuruni setiap langkah anak tangga di bangunan itu.

PERLAHAN-LAHAN, Kay membuka matanya. Dia melihat keadaan sekeliling. Kabur. Matanya masih berpisat-pisat. Dia dapat merasakan bau ubat yang memenuhi ruang bilik itu. Dengan penuh berhati-hati dia cuba bangun.
      “Awak dah bangun Kay?” kedengaran suara serak seorang wanita dalam bilik itu. Dilihatnya Puan Jamie sedang tersenyum ke arahnya. Puan Jamie merupakan doktor yang telah ditugaskan menjaga kesihatan pelajar-pelajar UOS. Dia juga fasih berbahasa melayu kerana pernah bertugas di Malaysia selama beberapa tahun dulu.
      “Puan Jamie! Apa yang terjadi pada saya? Macam mana saya boleh ada di sini?” soal Kay sambil memicit-micit dahinya yang berdenyut. Cuba mengingati kembali apa yang telah berlaku.
      “Kay dah lupa? Tadi Kay pengsan di tingkat 5, nasib baik ada seorang lelaki yang sangat baik sanggup mengangkat Kay ke sini.” Lembut penjelasan Puan Jamie.
      “Wait, Wait, Wait! Puan kata apa tadi? Lelaki? Lelaki mana pulak ni?” soal Kay cemas ingin tahu. Takkan Nafri kot, fikirnya.
      “Entahlah, saya pun tak berapa ingat nama lelaki itu. Tadi Kay mabuk darah, sebab itulah pengsan apabila ternampak darah. Kalau tidak silap, darah dari bibir lelaki itulah yang menyebabkan Kay pengsan. Hmm...kesian saya tengok dia, bibirnya luka. Tapi saya dah bubuh ubat pada lukanya.” Ujar Puan Jamie tersenyum.
      Kay akhirnya mengangguk faham. Jadi, memang benarlah dia yang bawa aku pergi ke sini tadi. Tak guna! Seronoklah dia hari ini, bila dah dapat tahu kelemahan aku! Lepas tu, ambik kesempatan pegang aku free pulak. Tak guna punya lelaki. Kalau dia masih ada kat sini, memang berbirat telinga kau dengar makian aku! Ciss.. kutuk Kay dalam hati.
      Pintu bilik itu tiba-tiba dikuak perlahan. Kay dan Puan Jamie sama-sama tertumpu ke arah pintu. Kelihatan Raula dan Zateel terjengul masuk lalu mendapatkan Kay yang masih duduk berteleku atas katil. Pantas Raula menerpa ke arah Kay.
      “Oh my god Kay! Kau tak apa-apakan? Cedera kau tak serius kan?” soal Raula kalut. Pantas jari-jemarinya meneroka setiap inci tubuh Kay takut-takut ada yang tercedera parah.
Kay mencebik. “Kau ni kenapa Raula? Bukannya aku accident pun. Aku hanya pengsan aje lah! Tak mati pun.”
 Zateel menahan rasa ketawa. Lucu melihat Raula yang melebih-lebih pulak caring dia.
      “Aku tahulah kau pengsan, tapi mana tahu kalau kau ada apa-apa penyakit ke. Takkanlah kau boleh tetiba pengsan pulakkan? Dah lah kau tu ada gastrik. Kau tak breakfast ek?” tukas Raula sambil menjeling wajah Kay.
      “Aku breakfastlah...” jawab Kay lemah.
      “Habis tu? Kenapa boleh pengsan? Atau, kau ada penyakit yang kau rahsiakan dari kami tak? Kay, aku ni kawan kau. Dah lama aku jadi kawan kau, sejak dari bangku sekolah lagi. Takkan itupun kau nak berahsia dari kami berdua. Kenapa kau nak tanggung penderitaan kau tu seorang Kay, sekurang-kurangnya kau berkongsilah dengan kami walaupun aku ni nampak aje selalu membebankan, tapi atleast kau luahkankan Kay...” sayu Raula menyatakannya.
 Menyalang-nyalang mata Kay memandang Raula. “Apa kau merepek ni minah? Kau ingat aku ni terkena penyakit berbahaya ke? Kau jangan mengarut boleh tak? Eei...geramnya aku kat dia ni. Kalau kau ni roti pau, dah lama aku gigit-gigit kau tau!” bidas Kay sambil memicit geram lengan Raula.
“Aww... sakitlah Kay, salah ke apa aku cakap ni?” ucap Raula manja sambil mengusap-usap lengannya yang dipicit oleh Kay sebentar tadi.
 Zateel menggeleng. “Ha, hari ini barulah terserlah kebengapan kau Raula. Yang kau merepek tak tentu pasal ni kenapa? Kay tu pengsan sebab tengok darah, bukannya terkena penyakit. Apalah kau ni.” Tempelak Zateel geram.
      “Betul ke? La, kenapa tak cakap awal-awal? Tak pasal-pasal aku yang terlebih emosi... sorry Kay. Aku gembira sebab kau bebas dari penyakit!” ujarnya gembira seraya memeluk Kay erat.
 Kay hanya terpinga-pinga dengan reaksi Raula namun cukup membuatkan jiwanya tersentuh. Dia tersenyum, begitu juga Zateel. Hai, macam-macam kawan aku sorang ni. Hmm, nasib akulah dapat kawan macam gini. Kay akhirnya membalas pelukan Raula dengan senyuman ihklas.

 “HA, macam mana dengan plan yang papa suruh Naf buat tu? Jadi tak?” soal Dato’ Fauzi seraya memandang tepat wajah Nafri sambil menyedut batang paipnya.
 Nafri mengeluh. Dia kemudiannya duduk di hadapan Dato’ Fauzi di ruang tamu Apartment Hanshin miliknya. Papanya telah datang dari Malaysia petang tadi kerana ada urusan perniagaan yang perlu diuruskan.
 “Plan tu okey Pa, cuma Naf tunggu masa je sekarang ni. Perempuan tu dah jatuh ke tangan Naf, dia betul-betul dah rasa percaya dan sayang pada Naf. Tapi, Naf belum nak ajak dia kahwin lagi lah Pa. Naf fikir, Naf masih nak enjoy dulu.” Jelas Nafri bersahaja. Dia merenung Dato’ Fauzi yang bagaikan ada agenda besar seperti kebiasaannya.
 “Hmm, papa suruh Naf pikat perempuan tu dan yakinkan dia untuk berkahwin dengan Naf. Bila perempuan tu dah mutlak jadi milik Naf, senanglah papa nak uruskan apa yang papa mahu! Masalahnya sekarang ni bukan pada perempuan tu, tapi pada Naf sendiri!” kata Dato’ Fauzi keras. Dia meletak batang paipnya di atas bekas abu rokok. Wajah Nafri ditenungnya geram.
 “Kenapa pulak Naf yang salah? Naf cuma ikut arahan papa je selama ni, kan? Naf pun bukannya nak sangat perempuan tu jadi isteri Naf, dahlah kasar, panas baran, mengada-ada pulak tu. Kalau bukan sebab papa, Naf takkan pikat perempuan macam tu lah papa.” Jelas Nafri berasa sedikit rimas.
 Dato’ Fauzi membetulkan duduknya. Rasa begitu geram dengan anak lelakinya yang seorang ini.
      “Naf, papa buat semua ni demi keluarga kita. Takkan kerja senang macam itu pun Naf tak reti nak buat! Papa tak nak keluarga kita hidup susah. Naf tak nak hidup senang ke esok lusa?” soal Dato’ Fauzi cuba memancing anaknya itu.
“Papa, kita ni tak cukup senang lagi ke sekarang? Bagi Naf, segala keperluan yang kita perlukan dah cukup Pa. Kita sudah ada segalanya sekarang. Buat apa papa nak susah-susah menakluki Syarikat ayah Kay tu? Apa lagi yang papa nak sebenarnya?” Nafri pula bertanya. Memang dia pelik dengan agenda ayahnya yang beria-ia mahukan Menara Kayrina. Sehingga sanggup menjadikan dirinya sebagai alat permainan kotor ayahnya itu.
Dato’ Fauzi merenggus kasar. “Naf takkan faham kenapa papa sanggup buat semua tu! Sampai bila-bila pun Naf tak akan faham! Papa nak lihat si Syafique tu jatuh tersungkur, muflis! Biar padan muka dia! Dan Naf takkan tahu apa yang si Syafique keparat tu dah buat pada keluarga kita! Dia pernah buat hidup papa menderita! Hidup kita tidak akan selesa macam ni kalau papa masih terus mengalah suatu ketika dulu! Dia pernah khianati papa, dan papa tak akan lupakannya sampai mati! Tapi, kalau Naf dah tak sudi nak tolong papa, tak apalah. Biar papa berjuang sendiri...” luah Dato’ Fauzi sebak. Suaranya sengaja dibuat-buat serak dan wajahnya dibuat-buat sedih.
Nafri serba salah. Dia memang tidak rela jikalau melihat ayahnya dalam keadaan sedih begini. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Okey Pa, macam ni. Naf minta sorry dengan apa yang Naf cakap tadi ya. Naf janji dengan papa, yang Naf akan cuba buat apa yang papa suruh. Naf akan cari masa yang sesuai untuk melamar Kay. Naf sanggup buat apa saja asalkan Naf dapat kahwin dengan dia. Tapi, Papa jangan sedih-sedih lagi ya.” Pujuk Nafri lembut.
Dato’ Fauzi menarik nafas lega. Dia mengangguk lemah. “Itulah yang papa nak dengar dari anak papa ni. Naf kena ingat, pastikan perempuan tu tidak tahu siapa papa. Dan pastikan juga Syafique tidak tahu yang Naf ni anak papa. Kalau Syafique mendapat tahu, gagallah segala rancangan kita!” Dato’ Fauzi menekan sedikit suaranya, memandang Nafri tanpa berkerdip.
“Ya, Naf tahu Pa. Naf akan cuba...” jawab Nafri berkali-kali, menyakinkan ayahnya.
Dato’ Fauzi tersenyum puas. Tidak sabar untuk menjatuhkan Tan Sri Syafique. Sebetulnya dia begitu cemburu dengan kejayaan yang dicapai lelaki itu, lelaki yang telah rasminya dianggap sebagai musuh dan saingannya. Dendamnya semakin membara apabila mendapat tahu lelaki itu telah ditawarkan pangkat “Tan Sri” beberapa tahun dulu. Hatinya bagai dicucuk-cucuk dengan pisau setiap kali membaca mengenai kisah kejayaan Tan Sri Syafique dan betapa majunya “Menara Kayrina” di mata dunia.
Argh! Aku tidak akan sesekali mengalah kepada lelaki kampung yang tidak sedar diri itu! Sekiranya nyawa kau harus dihapuskan dari muka bumi ini, aku sanggup menjadikan nyawa kau ataupun anak kau sebagai galang gantinya Syafique! Hati Dato’ Fauzi berbisik penuh dendam dan kebencian.
 Itulah dia sifat manusia, sanggup melakukan apa sahaja demi melunaskan nafsu yang beraja di hati. Apabila mata hati menjadi buta, kejahatan yang dilakukan sudah tidak menjadi kudis lagi dalam diri.

One Words

life is only therapy just let me shop second best thing

My Days

Daisypath Anniversary tickers

My Anniversary

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Last but not Least

cat flower