CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, April 3, 2013

Nilai sebuah Persahabatan



'Erti persahabatan’- Itu yang sedang bermain dalam kantung pemikiranku sejak dari tadi, dalam mencari idea untuk entriku kali ini. Orang kata “Kita adalah dengan siapa kita bersahabat”. Satu ungkapan yang jika diberi tafsiran kasar tidak memberi impak yang besar tetapi jika ditafsir dengan kias dan secara mendalam mampu memberi satu terjemahan yang menyeluruh tentang perjalanan kehidupan kita yang bergelar insan dan saling memerlukan.

Sahabat adalah antara pengaruh terbesar dalam mencorakkan diri kita. Kitar hidup kita berputar di sekeliling mereka. Kesalahan dalam memilih sahabat mampu merosakkan dan memporak-perandakan hidup. Ini jelas terbukti dengan kebejatan moral muda-mudi masa kini yang bergaul bebas dengan sahabat-sahabat yang ‘tidak sihat’. Ini semua bertitik tolak dari salahnya memilih sahabat.

Bagiku, asas utama persahabatan harus bersendikan keikhlasan dan kejujuran, bukannya berpaksikan duit,harta,pangkat dan nama semata-mata. Namun, itulah hakikatnya kita pada zaman ini, zaman yang sukar untuk mencari yang benar-benar 'benar', kerana kita sering dikelirukan dengan kepalsuan pada topeng kepura-puraan.

Antara pepatah kegemaran yang sering aku gunakan sejak dari dulu untuk menasihati diriku sendiri dalam memilih sahabat ialah: “Kalau bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan dapat percikan wangiannya, tetapi kalau bersahabat dengan tukang besi, kita akan terkena percikan apinya dan mencarikkan baju kita". Pepatah ini aku ambil dari sebuah artikel majalah yang pernah kubaca dizaman remaja persekolahanku dulu. Pada masa itu,’masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’ tetapi bila sudah dewasa sebegini ‘masuk telinga kiri,terus menusuk ke hati’.Terima kasih 'Hati' kerana terus mengingatkan!

Ramai yang bertanya mengapa aku nampaknya seperti kurang sahabat dan jika ada sekalipun tiada yang benar-benar rapat, lazimnya hanya berbasa basi bertanya khabar berita dan perkembangan semasa. Jawapanku: Aku berkawan dengan semua. Aku dididik untuk menghormati semua dan tidak mengecilkan sesiapa. Kualiti sentiasa mengatasi kuantiti. Jika ditanya berapa ramai sahabat kita, hampir pasti jawapan spontan “Ramai” akan terpacul pada bibir, namun jika ditanya soalan yang sama sekali lagi dalam intonasi berbeda yang lebih serius, waktu itu kita akan mula berfikir, mengira dan percayalah, yang “Ramai” itu akan jadi “Tidak Ramai” sebenarnya.

Nasihatku pada semua, carilah sahabat yang mampu berkongsi tawa senda dan air mata,walaupun aku akui amat sukar untuk mendapatkannya pada zaman sebegini. Ketika sihat, senang dan berharta, ramai yang menyapa dan mengaku sahabat. Bila sakit, susah dan jatuh miskin, tidak ramai yang ambil endah dan mula menjauhkan diri dengan memberi alasan-alasan yang tidak masuk dek akal dan jujurnya bisa buat hati ketawa dalam tangis memikirkan sifat manusia yang mampu berubah dalam sekelip mata. :'(

Buat sahabat-sahabatku, aku pinta agar kita sama-sama kurangkan kontroversi dan tingkatkan kualiti kerja kita. Kita adalah apa yang kita ‘buktikan’ dan bukan apa yang kita ‘war-warkan’. Kita teruskan semangat kesetia-kawanan sesama kita dan jika timbul sebarang permasalahan peribadi, tidak perlu kita gembar-gemburkan di sana sini, dijadikan bahan media/sosial/humor dan sebagainya. Bersemuka dengan cara yang betul, professional seperti yang diajar oleh AGAMA masing-masing.

Begitu pantas masa berlalu rupanya. Sudah hampir setengah jam aku leka dibuai tarian pena pada topik ‘persahabatan’ ini. Aku terasa dipanggil untuk merebahkan tubuh ke tilam empukku kerana badan sudah dalam fasa keletihan.

Akhir kata, selesai saja membaca artikelku ini, tanya pada diri “Adakah aku punyai sahabat sejati dan adakah aku memiliki ciri-ciri seorang sahabat yang sejati?” Tepuk dada,tanya hati. xoxo :D



Tuesday, April 2, 2013

Budaya Memfitnah Dunia Maya




Dalam kepesatan dunia internet tanpa sempadan kini, aku sedari  manusia turut serta secara pro-aktif dalam proses evolusi ini.Yang menyedihkanku ialah apabila evolusi yang seharusnya memberi anjakan ke hadapan ini hakikatnya tanpa disedari membawa satu aspek ke belakang.Apa yang cubaku gambarkan di sini ialah kebejatan moral dan sahsiah generasi millenia.

Seperti yang kita ketahui,dunia internet adalah dunia bebas,di mana semua orang boleh memberi informasi,tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun.Walaupun kebenarannya masih belum pasti tanpa bukti-bukti mengiringi,kita pantas dan mudah  rasa teruja bila metod presentasi,cara penyampaian informasi nya menarik.

Fakta atau palsu sudah jadi perkara kedua.Yang pertama perlu isu sensasi,bertambah galak jika dikepilkan bersama gambar-gambar yang hanya Tuhan sahaja yang tahu kesahihannya.Dalam dunia kecanggihan IT,gambar bisa saja jadi ‘mainan’segelintir yang arif. Gambar di’edit’,di’super-imposed’. Hasilnya disebarkan di dunia maya buat tatapan semua.Pastinya,ramai yang percaya tanpa usul periksa dan meneruskan ‘usaha berantai’ dengan menyebarkan kepada komuniti mayanya pula.Begitulah kitarannya.

Bahasa tidak ketinggalan menjadi taruhan.Bahasa sudah jadi bahan mainan dan tidak dihargai bila kata-kata kesat digunakan secara berleluasa.Berhati-hatilah dalam pemilihan kata.Jika ada perselisihan faham ,bersemukalah dan jika mahu digunakan medium internet sebagai perantara,hantarlah e-mail secara peribadi tanpa perlu dicanang seantero dunia maya.Mengaibkan orang,dalam masa yang sama tanpa disedari mengaibkan diri sendiri.”Berkata-katalah dengan perkara yang baik atau diam.”- Saya percaya itulah yang diajar oleh Agama kita. Malah, mungkin semua agama.

Aku sedih melihat kita berbalah,memfitnah dalam dunia maya.Kita hidup tidak lama, kawan-kawanku.Mengapa perlu ditambah ‘bekalan yang tidak sepatutnya’ untuk dibawa ke ‘sana’.Setiap tutur kata dan perbuatan kita akan dinilai dan dikira.Aku yakin,100% yakin tiada seorang pun antara kita mahu neraca itu nanti memberatkan dosa lebih daripada pahala dan buku prestasi dunia kita diberikan pada tangan kiri kita kerana itu tandanya destinasi kita sudah pasti bukan syurga.


Akhir kata,aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini.Apa yang kutulis di sini adalah nasihat peribadi untuk diriku sendiri juga.Aku hanya ingin berkongsi rasa dan pendapatku dengan semua.Dunia ini akan lebih indah jika kita sama-sama memberi yang terbaik kerana kita adalah ciptaanNya yang terbaik.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca artikelku kali ini. Maafkan aku jika ada kepincangannya di ‘sini-sana’.Yang baik semuanya dari DIA dan segala kekurangan itu datangnya daripadaku yang serba tidak sempurna.


Insan biasa yang bisa melakukan kesilapan,
Krisabelle Nelly :D



One Words

life is only therapy just let me shop second best thing

My Days

Daisypath Anniversary tickers

My Anniversary

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Last but not Least

cat flower